|
832 pelajar sertai Pesta Sukan Massak |
|
Selasa, 13 April 2010 00:54 |
  Nilam Puri: Seramai 832 pelajar menyertai Pesta Sukan Massak yang diadakan di Padang Yayasan Islam Kelantan Nilam Puri. Acara tahunan peringkat Yayasan Islam Kelantan ini bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam berbagai acara disamping mengasah bakat-bakat sedia ada untuk diketengahkan ke dalam Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Agama Malaysia Zon Utara dan Timur (KESSUMA). 
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YB. Hj. Hassan b. Mahmood, Ahli Dewan Undangan Kawasan Tawang mewakili YB. Pengerusi Pembangunan Insan, belia, sukan dan Ngo Negeri, Hj. Abdul Fattah b. Mahmood. Pesta Sukan kendalian Unit Kokurikulum, ini juga dapat mengeratkan tali silaturrahim antara satu sama lain dan dalam masa yang sama berjaya memupuk semangat ukhuwwah yang berpanjangan Antara acara yang dipertandingkan untuk lelaki ialah Bolasepak,Takraw, Badminton, Ping Pong dan Bola Tampar. Manakala untuk acara sukan perempuan Bola Jaring, Ping Pong, Bola Tampar dan Badminton.
Lokasi pertandingan adalah di padang dan dewan Yayasan Islam Kelantan, gelanggang bola tampar dan takraw Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Dewan Badminton Tengku Anis di Padang Tembak, Pengkalan Chepa.   |
|
Kursus Pengurusan Pusat Sumber Sekolah (PSS) |
|
Sabtu, 27 Mac 2010 00:00 |
|
 Kota Bharu: Unit Teknologi Pendidikan Yayasan Islam Kelantan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) telah menganjurkan kursus 2 hari berhubung dengan pengurusan Pusat Sumber Sekolah (PSS). Menurut Penolong Pengarahnya, En. Abdul Ghafar b. Sulaiman, kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada guru-guru yang terlibat kaedah dan tatacara pengendalian Pusat Sumber Sekolah yang lebih efisyen. Seramai 90 orang peserta menghadiri kursus berkenaan yang telah disampaikan oleh En. Herman Harianto b. Che Harun, Pustakawan PPAK dengan dibantu oleh Penolong Pustakawan, En. Hanif b. Junoh, Cik Nurulaida bt Abd. Ghani dan Wan Fairuzliza bt Wan Kadir, termasuk pendedahan perolehan bahan, pengkatalogan dan perkhidmatan. Kursus yang diadakan pada 24 dan 25 Februari itu juga menghendaki guru-guru mengembalikan respon dari Borang Soal Selidik Pusat Sumber Sekolah dan Borang Maklumat Guru Pusat Sumber Sekolah ke bahagian Teknologi Pendidikan. Taklimat pertandingan PSS sekolah turut diadakan yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Teknologi Pendidikan.
Keterangan gambar: 1. Sebahagian guru PSS mengikuti kursus. 2. En. Herman sedang memberi taklimat |
|
|
YIK sertai lawatan ke India |
|
Selasa, 06 April 2010 00:50 |
|
 
Lucknow,India: Yayasan Islam Kelantan turut serta dalam rombongan meninjau penggunaan dan pemakaian kurikulum dalam pengajian agama di India untuk dibuat penyesuaian dengan pengajaran agama yang dilaksanakan di Negeri Kelantan. Rombongan yang diketuai oleh YB. Timbalan Menteri Besar, Dato’ Hj. Ahmad b. Hj Ya’kob turut diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, YB. Dato’ Hj. Mohd Amar b. Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaaan YB. Dato’ Hj. Takiyuddin b. Hj. Hassan, Sahibus Samahah Dato’ Mufti Kerajaan Kelantan, Dato’ Hj. Mohamad Shukri b. Mohamed Ketua Hakim Syarie, Dato’ Hj. Muhamad b. Daud, YB Hj. Mohamad b. Awang, ADUN Gual Periok dan YB Hj. Abdullah b. Yaakub ADUN Ayer Lanas. YIK diwakili oleh Timbalan Pengarah (Sekolah) Tn. Hj. Mohamed b. Ya dan Penolong Pengarah Kurikulum Arab dan Agama, Ust. Mohd Zaki b. Deraman. Rombongan yang mengadakan lawatan pada 18 hingga 25 Februari 2010 telah mengunjungi Darul Ulum Nadwatul Ulama’ di Lucknow dan Madrasah Daru Ulum, di Deoband dan kunjungan ini berjaya mengeratkan lagi hubungan pendidikan dua hala dan bersetuju untuk menerima pelajar-pelajar Kelantan menyambung pelajaran di sini. Selain itu pihak Universiti berkenaan juga menyatakan persetujuan untuk memberi kebenaran kepada pihak kerajaan menyemak kurikulum pendidikan agama khususnya untuk mempertingkatkan tahap penguasaan pelajar-pelajar di pusat-pusat pengajian pondok.
Dalam kesempatan yang sama Kerajaan Negeri turut mempromosikan pelancongan ke Kelantan dengan mengedarkan CD kepada pihak Universiti dan juga agen-agen pelancongan di sekitar Lucknow dan Deoband. Kunjungan singkat rombongan ini mendapat liputan meluas akhbar-akhbar tempatan khususnya Hindustan Times dan Sahara.
Keterangan gambar: 1. Rombongan bergambar di hadapan Masjid Universti Darul Ulum (Wakaf) Deoband 2. YB. Dato Timbalan Menteri Besar sedang menyampaikan sumbangan kepada Universiti Darul Ulum Lucknow. 3. YB. Dato’ Mohd Amar sedang memberi penerangan Kurikulum Pengajian Pondok kepada Syeikh Rabie An. Nadawy.
|
|
SPM 2009: 2 pelajar Maahad Muhammadi dapat 15A |
|
Khamis, 18 Mac 2010 00:00 |
|

Pelajar Yayasan Islam Kelantan dari Mahaad Muhammadi Perempuan Kota Bahru, Habibah Hanan Mat Yusof, memperolehi 15A, 10A Plus. Beliau dikatakan antara pelajar terbaik SPM 2009 Malaysia. KOTA BAHRU, 11 Mac 2010: Pelajar-pelajar sekolah agama di Kelantan terus mengungguli pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 apabila seorang pelajar mendapat 12A+.
Pelajar terbabit, Ahmad Harith Zabidi Azhar dari Maahad Muhammadi Lelaki itu juga mendapat 2A dan 1A menjadikan pencapaian keseluruhan 15A. Manakala Habibah Hanan Mat Yusof dari Maahad Muhammad Perempuan pula mendapat 10A+ di mana jumlah keseluruhan subjek (15A).
Pencapaian bagi kedua-dua sekolah tersebut ialah 100 peratus.
Keputusan SPM bagi sekolah bagi Maahad Muhammadi Perempuan diumumkan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ahmad Robert Abdul Rahim pagi tadi. Pengumuman di Maahad Muhammadi Lelaki dilakukan pengetuanya, Azhar Salleh petang ini.
Seramai 385 calon menduduki peperiksan SPM di Maahad Muhammadi Perempuan.
Daripada jumlah tersebut seorang mendapat 15A, 14A (1), 13A (1), 12A (9), 11A (9), 10A (13) dan 9A (22).
Di Maahad Muhammadi Lelaki, seramai 359 pelajar menduduki SPM tahun lepas, di mana keputusan keseluruhan tahun ini meningkat. Keputusan tersebut iaitu seorang pelajar mendapat 15A, masing-masing seorang mendapat 14A dan 13A, 12A (5), 11A (10), 10A (14) dan 9A (20). Sementara itu, Habibah Hanan (gambar) yang juga pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan mendedahkan rahsia kejayaannya dengan mengikuti kaedah yang digunakan pelajar yang telah berjaya sebelum ini.
“Biasalah kalau ingin berjaya, kita kena ikutilah jejak langkah mereka yang telah berjaya. Saya mengetahui cara belajar Kak Fatimah, Kak Madihah dan Kak Amalina belajar.“Saya cuba mengikuti cara mereka dan kalau tidak sesuai saya akan membuat kaedah sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita. Beliau mengakui, pelajar cemerlang SPM 2008 peringkat negara, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal sebagai idolanya untuk mencapai kecemerlangan.
Pelajar berasal dari Jalan Bayam, Kota Bharu merupakan anak bongsu daripada 10 beradik. Ayah dan ibunya merupakan pesara guru. Ditanya ke mana akan melanjutkan pengajian selepas ini, beliau memberitahu akan berbincang keluarga dan guru terlebih dahulu.
“Namun saya minati Fizik, tetapi saya tidak mendapat A+. Selain itu saya juga meminati bidang kehakiman. Bagaimanapun keluarga meminta saya menyambung pengajian dalam bidang perubatan,” katanya. Tahun lepas Nik Nur Madihah juga dari Maahad Muhammadi Perempuan muncul pelajar terbaik SPM peringkat kebangsaan apabila mendapat 20A. |
|