Pelancaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Yayasan Islam Kelantan
KOTA BHARU : Yayasan Islam Kelantan secara rasminya telah melancarkan program Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) peringkat jabatan yang telah berlangsung pada 27 Rejab 1442H bersamaan dengan 11 Mac 2021. Pelancaran ini secara rasminya telah disempurnakan oleh YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan, YM Engku Rajhan bin Engku Ismail bertempat di Bilik Seminar Tingkat 2, Blok A, Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan di Tunjong, Kota Bharu.
Majlis Pelancaran EKSA YIK bermula pada jam 11.00 pagi dengan taklimat khas yang disampaikan oleh fasilitator EKSA YIK, YBrs. Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan, Hajjah Nur Azah binti Abdul Rahman dan YBrs. Penolong Pengarah Sumber Manusia, Jazlan bin Omar.
Sementara itu, YM Pengarah YIK dalam ucapannya berharap agar semua kakitangan YIK dapat meneruskan komitmen dalam tugasan masing-masing dan memainkan peranan yang tersendiri dalam memastikan matlamat EKSA YIK dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh jabatan.
Dalam majlis ini juga, YM Pengarah berbesar hati untuk menganugerahkan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Logo EKSA YIK yang dimenangi oleh YBrs. Mohd Yulfaisal bin Yusoff, Akauntan YIK serta menyampaikan plat Dasar EKSA Yayasan Islam Kelantan kepada ketua-ketua Zon yang telah dilantik.