Program Penghayatan Maulidur Rasul 1448H dan Sambutan Hari Kebangsaan YIK Tahun 2026
Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong, 8 September – Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah melakar kenangan manis apabila berjaya menyatukan semangat cintakan negara dan kasih kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W menerusi penganjuran Program Penghayatan Maulidur Rasul 1448H dan Sambutan Hari Kebangsaan YIK Tahun 2026. Program yang berlangsung dengan meriah dan penuh tradisi keagamaan itu telah diadakan bertempat di Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan, Tunjong, dekat sini.
Tirai program disingkap pada sebelah pagi dengan aktiviti riadah kerohanian iaitu Fun Walk Merdeka Berselawat. Semua pegawai dan kakitangan YIK berarak membawa sepanduk Maulidur Rasul dan mengibarkan bendera Jalur Gemilang, sambil lisan mereka tidak putus-putus mengalunkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, sekali gus menyuntik elemen mahabbah dan patriotisme di sepanjang laluan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Yayasan Islam Kelantan, YABrs. Tuan Haji Shamsul bin Abu Bakar. Dalam ucapan perasmiannya, YABrs. Pengarah menitipkan pesanan mendalam mengenai erti sebenar penghayatan sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian, terutamanya bagi warga kerja YIK. "Kecintaan kepada Rasulullah S.A.W tidak boleh terbatas dengan ungkapan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui akhlak, tutur bicara dan tindakan kita," tegas beliau ketika merasmikan program tersebut. Turut hadir barisan pengurusan tertinggi termasuk Timbalan-Timbalan Pengarah, Penolong-Penolong Pengarah, serta barisan Pegawai yang sepakat menyokong penuh penganjuran majlis ini.
Selain itu, para hadirin telah diperdengarkan dengan alunan suci bacaan Al-Quran yang disampaikan oleh Pegawai Latihan & Kepimpinan YIK, Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Bahruddin bin Husin. Pengisian minda dan rohani diteruskan dengan satu sesi ceramah khas mengupas isu-isu semasa yang telah disampaikan oleh penceramah bebas terkenal, Al-Fadhil Ustaz Haji Mokhtar bin Yaacob. Ceramah tersebut menekankan kepentingan meneladani sifat rasul dalam mendepani cabaran akhir zaman.
Suasana majlis turut disemarakkan lagi dengan persembahan Pidato yang bertajuk ‘Perjuangan Para Sahabat Rasulullah S.A.W’. Deklamasi pidato yang penuh bersemangat ini telah dijayakan oleh wakil YIK serta wakil daripada Kelab Pidato Perdana Antarabangsa (KEPENTAS) Negeri Kelantan.
Menjelang kemuncak program, majlis diakhiri dengan bacaan doa kesyukuran sempena kemerdekaan bagi memohon kesejahteraan berterusan buat agama, bangsa dan negara, sebelum para hadirin dijemput untuk menikmati jamuan makan yang disediakan.
Penganjuran dwi-sambutan ini bukan sahaja berjaya merapatkan ukhuwah dalam kalangan warga kerja YIK, malah terus memperkukuhkan asas jati diri Muslim yang cintakan agama dan tanah airnya.








