YIK Lancar Buku Garis Panduan Pengurusan Wabak Covid-19 di Asrama Sekolah YIK
Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjung : 31 Mei 2021 - Asrama sekolah merupakan tempat yang berpontensi berlakunya penyebaran penyakit. Para pelajar yang berada semestinya menggunakan fasiliti yang sama dan ini merupakan salah satu faktor berlakunya jangkitan yang cepat dikalangan penghuninya.
Di negeri Kelantan, peningkatan kes COVID-19 meningkat secara mendadak di sekolah-sekolah berasrama yang telah mewujudkan beberapa kluster baru dan beberapa buah sekolah telah diistiharkan Peraturan Kawalan Pergerakan Diperketat(PKPD).
Menyedari hakikat tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli bin Dato' Hj Hassan hari ini telah Melancarkan Buku Garis Panduan Wabak Covid-19 di Asrama Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) kepada pengetua sekolah yang mempunyai asrama sekolah secara pandu lalu.
Buku Garis Panduan Pengurusan Wabak Covid-19 di Asrama Sekolah YIK diterbitkan oleh Yayasan Islam Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) Cawangan Kelantan. Buku panduan ini diharap memberi kefahaman kepada seluruh warga sekolah YIK khususnya sekolah yang mempunyai asrama untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mengikut norma baharu yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan rantaian Covid-19 khususnya dalam komuniti sekolah. Peranan penting yang harus diambil oleh pihak sekolah bermula daripada pengetua, guru, warden asrama, staf sokongan hinggalah kepada para pelajar sendiri.
Penyerahan buku garis panduan secara pandu lalu itu turut dihadiri YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan Haji Engku Rajhan Engku Ismail dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Islam Kelantan dengan pematuhan terhadap SOP Covid-19 yang ketat.