Kunjungan YM Pengarah YIK kepada Kaunselor Islam Kedutaan Arab Saudi
Kuala Lumpur: Pengarah Yayasan Islam Kelantan, YM Engku Rajhan b. Engku Ismail mengadakan kunjung hormat kepada Kaunselor Islam Kedutaan Arab Saudi, Syeikh Abdul Rahman Ar Rubai’an pada 1 Disember 2021. Kunjungan ini adalah bertujuan untuk merapatkan hubungan kerjasama pembangunan pendidikan antara YIK dan Kaunselor Islam.
Hubungan yang sedia terjalin ini perlu diperkukuhkan dengan bertukar-tukar bidang kemahiran bagi memperkasakan mutu penguasaan pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Sebelum berlakunya penularan wabak COVID-19, menjadi kelaziman Kaunselor Islam mengadakan kursus peningkatan bahasa Arab kepada guru-guru, selain dari turut membekalkan mushaf al-Quran dan bahan-bahan bacaan kepada pelajar-pelajar Yayasan Islam Kelantan, malah pernah membekalkan 37,000 naskhah Al Quran untuk diagihkan kepada semua sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan.
YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kaunselor khususnya Syeikh Abdul Rahman Ar Rubai’an yang menerima kunjungan dengan penuh mesra dan menyumbang cenderahati untuk program Graduasi Tahfiz tahun 2020. Hadir sama dalam kunjungan berkenaan Timbalan Pengarah Akademik, Hj. Mohd Zaki b. Deraman dan Timbalan Pengarah Kenaziran, Hj. Sukeri b. Hussin.