Kejohanan Badminton Piala Pengarah YIK: Team A YIK Muncul Juara
Kota Bharu: 02 Dis, Team A Yayasan Islam Kelantan muncul juara dalam Kejohanan Badminton Piala Pengarah YIK yang berlangsung pada 2 Disember 2021 di Dewan Persatuan Badminton Kelantan Telipot. Kejohanan ini melibatkan penyertaan dari semua sekolah YIK mengikut zon masing-masing melibatkan hampir 200 orang peserta.Â
Team A yang diketuai oleh YM Pengarah YIK menghadapi cabaran getir dari 14 pasukan mengikut kategori dan berjaya mengatasi halangan untuk meraih johan keseluruhan. Naib Johan dimenangi oleh Pasukan Machang manakala tempat ketiga dan keempat jatuh kepada Pasukan Tumpat dan Pasukan Rantau Panjang. Kejohanan kali ini menawarkan hadiah lebih istimewa berbanding dengan kejohanan yang diadakan sebelum ini, di mana Johan akan membawa pulang sebuah piala pusingan dan wang tunai RM1500.00, manakala naib johan menerima hadiah wang tunai RM1000.00, tempat ketiga dan keempat pula masing-masing menerima wang tunai RM500.00. Pihak urusetia juga menyediakan saguhati RM100.00 untuk setiap pasukan.
Program riadah peringkat YIK ini yang bermula dari jam 8.30 merupakan sebahagian dari aktiviti untuk merapatkan hubungan ukhuwwah dan meningkatkan semangat kesukanan di kalangan pentadbir dan guru-guru, selain itu ia juga merupakan salah satu wasilah untuk mengekalkan kesihatan diri secara berkumpulan.
Terdahulu, YM Pengarah YIK dalam ucapan perasmiannya menaruh harapan yang tinggi agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan menjadi platform untuk generasi muda dan generasi veteran saling kenal mengenali antara satu sama lain, selain itu beliau mengingatkan untuk semua peserta dapat mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan SOP yang telah ditetapkan dan jangan terlalu leka dengan sedikit kelonggaran yang telah diberikan.
Sementara itu, pihak urusetia yang diwakili oleh Penolong Pengarah Ko-Kurikulum, Tuan Haji Azman bin Hussin berpuashati dengan perjalanan kejohanan kali ini dan tahap pematuhan SOP yang baik dari kalangan peserta, beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pasukan YIK yang bekerja keras untuk memastikan piala pusingan kejohanan kembali semula ke pangkuan Yayasan Islam Kelantan.