YIK Santuni 91 Guru Pasca Perkhidmatan
Kota Bharu:Â 9 Feb - Yayasan Islam Kelantan menyantuni 91 guru yang telah menamatkan perkhidmatan dalam satu majlis penuh meriah yang berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu. Majlis Ramah Mesra Pengarah Bersama Alumni YIK ini bertujuan memberi penghargaan kepada jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada institusi pendidikan agama di bawah Yayasan Islam Kelantan.
Program yang julung-julung kali diadakan dalam sejarah YIK ini melibatkan penyertaan guru dan kakitangan yang telah menamatkan perkhidmatan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Januari 2022. Sebahagian dari mereka ini meninggalkan perkhidmatan kerana bersara wajib, bersara pilihan, sebab-sebab kesihatan atau pun menceburi bidang dan profesion baru.
YM Pengarah YIK dalam ucapannya menegaskan bahawa beliau mengambil perhatian khusus untuk meraikan guru-guru dan dapat memberi penghargaan terhadap komitmen yang telah mereka sepanjang berada di bawah bumbung Yayasan Islam Kelantan, YIK juga katanya, cuba menyelesaikan semua bayaran yang berkaitan seperti Gantian Cuti Rehat (GCR) dan Ganjaran Perkhidmatan kepada guru-guru yang tidak berjawatan tetap. Meskipun tanggungan yang besar dengan omulumen bulanan sudah mencecah hampir RM100 juta, kebajikan guru-guru tetap akan diutamakan, ujarnya.
Dalam pada itu, YIK sedang memperhalusi cadangan untuk mewujudkan skim baru yang dinamakan Skim Jawatan Tetap Bercarum. Skim ini pada dasarnya adalah sama dengan skim jawatan tetap sedia ada, kecuali pencen yang digantikan dengan caruman KWSP.
Majlis ini mendapat sambutan amat positif dari semua peserta dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Setiap peserta mendapat cenderamata kenang kenangan dan berpeluang bergambar bersama team pengurusan Yayasan Islam Kelantan. Rata-rata peserta melahirkan rasa terharu dengan majlis keraian ini dan mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan YIK.