YM Pengarah Lancar Pertandingan EKSA Antara Zon
Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong: 13 Feb – YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan Hj. Engku Rajhan b. Engku Ismail melancarkan pertandingan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) antara zon pada 13 Februari 2022. Pertandingan ini adalah sebahagian daripada aktiviti Jawatankuasa Promosi untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap pelaksanaan EKSA dalam persekitaran dan ruang kerja kakitangan. Program ini juga untuk memenuhi keperluan pengauditan EKSA peringkat negeri yang akan diadakan pada 21 Mac 2022.
YM Pengarah dalam ucapannya menyentuh tentang keperluan untuk pelaksanaan EKSA di pejabat YIK adalah sebagai usaha untuk menjadikan ruang kerja dan suasana pejabat yang lebih menarik, ceria dan cantik. Menurutnya, Yayasan Islam Kelantan telah disenaraikan antara jabatan yang sepatutnya telah melaksanakan program ini sejak 2 tahun yang lalu, walaubagaimana pun pihak YIK telah membuat permohonan penangguhan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga perpindahan ke pejabat baru ini selesai sepenuhya.
Beliau juga turut mengharapkan agar semua kakitangan dapat memberi kerjasama yang terbaik dan mematuhi aspek-aspek pengauditan yang telah digariskan dalam panduan EKSA untuk membolehkan Yayasan Islam Kelantan dianugerahkan Sijil EKSA dalam pengauditan yang akan dilaksanakan nanti.
Pertandingan ini merangkumi 7 kategori termasuk Ruang Kerja Terbaik, Zon Terbaik, Tandas Terbaik, Bilik Pegawai Terbaik, Sudut EKSA Terbaik, Sudut Go Green Terbaik dan terakhir ialah Kreativiti dan Inovasi Terbaik.
Dalam majlis yang sama, taklimat berhubung kaedah penilaian dan pemarkahan juga telah diadakan sebagai panduan, selain itu, penerangan mengenai aspek-aspek auditan juga telah diperincikan bagi memastikan semua pegawai dan kakitangan mematuhi ketetapan persijilan EKSA.
Hadir sama dalam majlis pelancaran berkenaan, Timbalan-timbalan Pengarah, Penolong-penolong Pengarah, Pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Islam Kelantan.