Pengetua Diseru Tingkatkan Kualiti Pengurusan Sekolah
Kota Bharu: 10 Mac - Pengetua-pengetua sekolah Yayasan Islam Kelantan perlu memantapkan diri menguasai kemahiran dalam pengurusan sekolah bagi melonjak pencapaian dalam bidang akademik dan kurikulum. Pengetua juga menjadi nadi penggerak dalam menentukan maju mundur sesebuah sekolah. Jatuh bangun sesebuah institusi pendidikan amat bergantung kepada corak kepimpinan dan budaya kerja yang seseorang pengetua. Sehubungan dengan itu, setiap pengetua perlu menjadi penghubung dengan masyarakat, rakan sekerja bersama guru, pembimbing dan penasihat kepada pelajar-pelajar. Demikian dinyatakan oleh YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Hj. Engku Rajhan b. Engku Ismail dalam satu program bersama pengetua di River View Hotel. Menurutnya lagi, semakan berkala perlu sentiasa dilakukan untuk memastikan tahap disiplin guru berada di tahap yang memuaskan dan pencapaian prestasi kecemerlangan pelajar mencapai target sasaran. Selain itu, aspek pengurusan kewangan juga perlu diberi perhatian dan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.
Program "Amanat Pengarah Yayasan Islam Kelantan Persediaan Pembukaan Sesi Pengajian 2022/23" ini telah dihadiri oleh semua Pengetua dan Guru Besar dari semua sekolah YIK termasuk tadika dan sekolah rendah ugama. Semua Bahagian telah mengambil peluang menyampaikan taklimat berkaitan dengan pengurusan sekolah, pengurusan akademik, pengurusan pentadbiran dan penaziran.
Hadir sama, Hj. Shamsul b. Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pengurusan, Hj. Che Kamarudin Kamel b. Che Muhammad, Timbalan Pengarah Sekolah, Hj. Mohd Zaki b. Deraman, Timbalan Pengarah Akademik, dan Hj. Sukeri b. Hussin, Timbalan Pengarah Kenaziran.