80 Pelajar YIK Terima Sumbangan Telekom Malaysia Berhad
Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong : 14 Mac - Seramai 80 orang pelajar sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan menerima sumbangan dari Syarikat Telekom Malaysia Berhad, Ini adalah sebagai sebahagian dari sumbangan sosial untuk kebajikan pelajar aliran agama di negeri ini. Majlis penyampaian berkenaan telah disempurnakan oleh YB. Dato' Dr. Mohamed Fadzli b. Dato' Haji Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan di Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan Tunjong. Sumbangan yang digerakkan oleh Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT) ini telah diagihkan RM200.00 setiap pelajar. Pemilihan pelajar asnaf ini dibuat oleh Yayasan Islam Kelantan melalui sekolah masing-masing berdasarkan latarbelakang keluarga dan kedudukan ekonomi ibubapa.
Selain itu, Syarikat Telekom Malaysia Berhad melalui BAKIT juga memulakan program rintis anak angkat bagi pelajar aliran tahfiz. Pada peringkat permulaan, seramai 5Â pelajar angkat ini akan dibiayai dengan sumbangan sebanyak RM1200.00 setahun dalam 4 kali bayaran. Sekiranya tahap pencapaian pelajar memuaskan, pihak Telekom akan mencadangkan nama-nama berkenaan untuk ditaja pengajian mereka oleh Yayasan Telekom Malaysia sehingga ke peringkat Universiti. Menurut Puan Rozainee bt Muhamad, Pengurus Besar Telekom Malaysia Negeri Kelantan, peluang ini seharusnya dimanfaatkan pelajar dengan sebaik-baiknya dan gandakan usaha untuk menjadi orang yang berjaya suatu hari nanti. "Telekom Malaysia turut sama berbangga dengan kejayaan kamu semua", kata beliau yang juga Pengerusi BAKIT Negeri Kelantan..
Sementara itu, dalam ucapan YB. Dato' Exco, memberi penekanan kepada usaha-usaha Kerajaan membentuk sahsiah pelajar dan kecemerlangan Akademik. Sejarah telah membuktikan bahawa pencapaian pelajar sekolah-sekolah YIK mengatasi pelajar-pelajar lain, sebagaimana kejayaan yang dicapai oleh Nik Madihah dan Siti Fatimah bt Mohktar.
Beliau juga turut melahir rasa bangga dengan pencapaian anak Kelantan, khususnya dalam teknologi Dron sehingga berjaya membuka 35 cawangan di seluruh dunia, selain itu anak-anak Kelantan juga berjaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik, dan meneroka negara-negara timur tengah untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan, Sehingga lahirnya doktor perubatan yang berjiwa Islam, Engginer, Peguam yang mampu menjadi imam dan menyampaikan kuliah agama di masjid, inilah yang kita harapkan agar menjadi generasi pelapis yang lebih baik menggantikan generasi yang ada pada hari ini, katanya
Hadir sama dalam program berkenaan, Tuan Haji Che Kamarudin Kamel b. Che Muhammad,Timbalan Pengarah Sekolah dan Tuan Haji Sukeri b. Hussin, Timbalan Pengarah Kenaziran Yayasan Islam Kelantan.