Perutusan YM Pengarah Sempena Hari Raya Aidil Fitri.
Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong: 28 Apr- Sempena ketibaan 1 Syawal 1443H, YM Hj. Engku Rajhan b. Engku Ismail, Pengarah YIK, telah menyampaikan perutusan khas hari raya untuk seluruh warga Yayasan Islam kelantan. Semua kakitangan mengenakan pakaian kebangsaan lengkap berbaju melayu, bersongkok dan sampin bagi lelaki manakala kakitangan wanita pula mengenakan pakaian yang sesuai dengan kemeriahan hari raya. Perutusan secara “live†dalam talian ini dapat diikuti oleh semua guru, kakitangan dan pelajar seluruh negeri Kelantan.
YM Pengarah dalam perutusannya mengharapkan agar semua warga kerja Yayasan Islam Kelantan dapat menyambut hari lebaran pada kali ini dengan penuh kesyukuran kerana negara berada dalam fasa peralihan endemik yang sudah membenarkan untuk aktiviti berkumpulan dan membuka ruang untuk kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Beliau juga memberi penekanan untuk meneruskan semangat Ramadhan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam. Antaranya ialah menepati masa, berdisiplin dan sentiasa meningkatkan usaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. Sekiranya amalan-amalan ini dapat diteruskan selepas berlalunya Ramadhan, banyak isu-isu berbangkit dapat diselesaikan tanpa melibatkan penguatkuasaan peraturan yang ketat.
Dalam perutusan yang sama YM Pengarah dan isteri mengucapkan “Selamat Hari Raya†kepada semua kakitangan di ibu pejabat dan semua guru serta pelajar sekolah seluruh negeri Kelantan. Taqaballah minna wa minkum, semoga Allah menerima semua amalan yang kita laksanakan.