Kejohanan Badminton Piala Pengarah YIK 2022: Team A YIK Muncul Juara
Kota Bharu : 10 Dis – Team A Yayasan Islam Kelantan (YIK) muncul juara dalam Kejohanan Badminton Piala Pengarah YIK yang berlangsung pada 10 Disember 2022 di Dewan Badminton KBBC, Kota Bharu, Kelantan. Kejohanan ini melibatkan penyertaan dari semua sekolah YIK mengikut zon masing-masing melibatkan 182 orang peserta.
Team A YIK yang diketuai oleh YM Tn. Hj. Engku Rajhan b Engku Ismail, Pengarah YIK menghadapi cabaran getir dari 14 pasukan (13 orang pemain setiap pasukan) mengikut kategori dan berjaya mengatasi halangan untuk meraih johan keseluruhan. Naib johan dimenangi oleh pasukan Pasir Mas manakala tempat ketiga bersama jatuh kepada pasukan Machang dan Rantau Panjang. Kejohanan kali ini menawarkan hadiah lebih istimewa berbanding dengan kejohanan yang diadakan sebelum ini, di mana johan akan membawa pulang sebuah piala pusingan dan wang tunai RM1,500.00, manakala naib johan menerima hadiah wang tunai RM1,000.00, tempat ketiga dan keempat pula masing-masing menerima wang tunai RM500.00. Team B YIK yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Kenaziran, Tn. Hj. Sukeri b Hussin tewas di peringkat kumpulan. Tn. Hj. Sukeri menyatakan faktor kekalahan kerana team mereka kerana diundi bersama pasukan-pasukan handal dan digelar kumpulan maut.
Program riadah peringkat YIK ini yang bermula dari jam 8.30 pagi merupakan sebahagian dari aktiviti untuk merapatkan hubungan ukhuwah dan meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan pentadbir dan guru-guru, selain itu ia juga merupakan salah satu wasilah untuk mengekalkan kesihatan diri secara berkumpulan.
Terdahulu, YM Pengarah YIK dalam ucapan perasmiannya menaruh harapan yang tinggi agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan menjadi platform untuk generasi muda dan generasi veteran saling kenal mengenali antara satu sama lain, selain itu beliau mengingatkan semua peserta dapat mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan SOP yang telah ditetapkan dan tidak terlalu leka dengan sedikit kelonggaran yang telah diberikan.
Sementara itu, pihak urus setia yang diwakili oleh Penolong Pengarah Kokurikulum, Tn. Hj. Azman b. Hussin berpuas hati dengan perjalanan kejohanan kali ini dan tahap pematuhan SOP yang baik dalam kalangan peserta. Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pasukan YIK yang bekerja keras untuk memastikan piala pusingan kejohanan kembali semula ke pangkuan Yayasan Islam Kelantan.