Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan - Tanggungjawab Bersama Pengetua
Kota Bharu : 13 Februari – Pengetua Yayasan Islam Kelantan menjadi pelaksana dan penggerak kejayaan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan. Demikian dinyatakan oleh YB Dato’ Dr. Hj. Mohamed Fadzli b. Dato’ Hj. Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan dalam ucapan perasmian Seminar Pendidikan di Hotel Elite pada 13 Februari 2023.
Seminar pendidikan ini yang dianjurkan oleh Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) melibatkan pengetua dan penolong kanan sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan.
“Kerajaan berhasrat melahirkan generasi yang mempunyai radar yang mampu mengesan dan membezakan antara suruhan dan larangan, melahirkan masyarakat yang sentiasa mengingati perintah Allah dan tidak terbabas daripada sempadan yang telah ditetapkanâ€, ujarnya.
Oleh demikian pelaksanaan DPRK ini bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan guru-guru terlatih serta dapat memahami segala objektif yang telah disasarkan, tanggungjawab pelaksana adalah kepada semua pengetua.
Konsep Rabbani yang kita lancarkan ini bukan sahaja melibatkan pelajar di peringkat sekolah, malah turut melibatkan komuniti sebagaimana yang telah dilancarkan K-Rabb baru-baru ini.
Dengan kata lain proses untuk meningkatkan kefahaman rakyat dan kefahaman masyarakat terhadap tuntutan Islam secara menyeluruh yang bermula dari peringkat sekolah sehinggalah kepada masyarakat umum dan orang awam.
Beliau mengharapkan komitmen yang berterusan daripada semua pihak bagi menjadikan Negeri Kelantan sebagai model terbaik dalam pelaksanaan pendidikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Dalam program yang sama YB Dato’ telah melancarkan Buku Modul Latihan Pendidikan Rabbani untuk pengetua dan sekolah-sekolah. Hadir mewakili Pengarah YIK, Timbalan Pengarah Sekolah, Hj. Che Kamarudin Kamel b. Che Muhammad.