Lawatan Kerja YM Pengarah YIK Ke Pusat Peperiksaan SMU 2022 Di Kemboja Tahun 2023
Phnom Penh, Kemboja: 14 Feb - Yayasan Islam Kelantan menyambut baik dan sentiasa mengalu-alukan hasrat pelajar dari negara Kemboja untuk menyambung pelajaran di negeri Kelantan. Demikian dinyatakan oleh YM Hj. Engku Rajhan b. Engku Ismail, Pengarah YIK dalam Lawatan kerja ke negeri itu pada 14 Februari lalu. Buat masa ini, sudah ada pelajar dari Kemboja yang telah dan sedang menyambung pengajian hingga ke peringkat tinggi di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Beliau berharap agar pihak Mufti Kemboja, YM SS Tn Hj Kamarruddin bin Hj Yusuf dapat meneruskan perbincangan bagi mencapai hasrat meningkatkan kecemerlangan ilmu pelajar pelajar kemboja.
Terdahulu, YM Pengarah sempat meninjau perjalanan pengurusan peperiksaan di pusat peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) di Kemboja di samping turut membuat pemantauan ke atas 2 buah pusat peperiksaan Maahad An Nikmah Al Islamiyyah Phnom Penh dan Maahad Muhammadi Beng Broul.
Peperiksaan pada kali ini telah diadakan secara berpusat di Maahad An Nikmah Al Islamiyyah Phnom Penh bagi memudahkan penyelarasan dan penyeliaan peperiksaan.
Dalam majlis berasingan sebelum peperiksaan bermula, YM Pengarah diberi peluang menyampaikan amanat kepada pelajar, Beliau mengingatkan agar semua pelajar mempunyai cita-cita yang kuat bagi mencapai sesuatu impian dan apabila berjaya kelak akan dapat membantu masyarakat setempat meneruskan usaha membangun komoditi Islam secara lebih baik.
Sejarah unik hubungan Yayasan Islam Kelantan dengan sekolah-sekolah agama masyarakat Islam Kemboja mula dirintis ketika Menteri Besar Kelantan ke-17 almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang berhasrat meluaskan medan dakwah dan pendidikan Islam serta bahasa Arab ke negara Kemboja.
Dalam lawatan 4 hari berkenaan, YM Pengarah YIK turut diiringi oleh Timbalan Pengarah Akademik,Hj. Mohd Zaki b. Deraman dan Penolong Pengarah Penilaian dan Peperiksaan, Ust. Anuar b. Rasid. ~SH
Â