Kelantan Naib Johan KESSUMA 2023
Kuantan: Kontinjen Negeri Kelantan telah berjaya merangkul Naib Johan dalam edisi Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) yang ke 22 di Kampus Universiti Malaysia Pahang, Gambang dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan Pahang pada 4-8 September 2023. Johan Keseluruhan pada kali ini ialah dari Kontinjen Negeri Terengganu.
Kontinjen Negeri Kelantan memperolehi pingat emas melalui acara ibu segala pingat iaitu bola sepak serta bola tampar (lelaki) dan badminton (perempuan). Manakala bola tampar (perempuan) dan badminton (lelaki) mendapat pingat perak. Pingat gangsa diperolehi melalui acara ping pong (perempuan) dan sepak takraw. Manakala ping pong (lelaki) dan bola jaring mendapat saguhati.
Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) sudah melangkah kali yang ke-22 pada tahun 2023, dan telah bermula sejak tahun 2000 dengan penggiliran tuan rumah mengikut pusingan. Pada tahun ini, Kejohanan diadakan di Kampus Universiti Malaysia Pahang, Gambang dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan Pahang pada 4-8 September 2023. Pada tahun lepas, KESSUMA telah diadakan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dengan menyaksikan Kelantan dinobatkan sebagai johan keseluruhan.
Majlis Perasmian Penutupan KESSUMA telah disempurnakan pada malam ini oleh YB Encik Fadzli bin Mohd Kamal, Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang menjadi wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.
Turut hadir ke Majlis Perasmian Penutup KESSUMA 2023 iaitu YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM, Yang Hormat Dato’ Dr Haji Zulkifle bin Haji Ali Al-Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, YABrs Tuan Haji Nik Mohd Hasanuddin bin Nik Hussain, Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Pengarah-Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri serta dif-dif kehormat.
Timbalan Pengarah Sekolah Tuan Haji Che Kamarudin Kamel Bin Che Muhammad selaku Ketua Kontinjen KESSUMA 2023 mewakili Kontinjen Negeri Kelantan untuk menerima piala naib johan di atas pentas.
Penolong Pengarah Ko-Kurikulum Tuan Haji Azman bin Hussin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua atlet kontinjen negeri Kelantan di atas menunjukkan kesungguhan pada temasya kali ini. Beliau berharap kejayaan naib johan tahun ini dan johan pada tahun lepas menjadi pencetus semangat kepada atlet dan kontinjen pada masa hadapan untuk terus merakamkan kejayaan yang akan datang.
Â