Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bagi Sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan Tahun 2023
Kompleks Pentadbiran YIK: 27 Mei 2024 - Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan Tahun 2023 telah disempurnakan oleh  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, YB Haji Wan Roslan bin Wan Hamat.
Seramai 5486 pelajar daripada 81 buah sekolah Yayasan Islam Kelantan telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023. Jumlah calon pada tahun ini meningkat seramai 77 calon berbanding tahun 2022 di mana bilangan calon ialah 5409 orang. Peratusan kelulusan penuh SPM 2023 ialah 96.66% berbanding 96.14% pada tahun 2022. Peratus kelulusan tersebut telah meningkat sebanyak 0.52%. Usaha yang berterusan semua pihak termasuk sekolah, PIBG dan pihak Yayasan Islam Kelantan sendiri yang sentiasa peka keperluan pelajar termasuk menyediakan seminar, kursus dan latihan-latihan secara berkala telah melahirkan 67 orang pelajar Yayasan Islam Kelantan cemerlang dalam SPM 2023.
Selain itu, seramai 149 calon telah mendapat pernyataan pada tahun 2023 manakala pada tahun 2022, calon yang mendapat pernyataan adalah seramai 199 calon. Berdasarkan analisis lengkap yang dibuat, sebanyak 36 buah sekolah telah mencatat keputusan kelulusan 100%. 205 calon telah berjaya memperoleh 9A hingga 12A dan daripada jumlah tersebut, 67 orang pelajar telah memperoleh A dalam semua mata pelajaran.
Seterusnya, sekolah terbaik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS) bagi keseluruhan sekolah dan kategori maahad kawalan ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah yang memperoleh 1.98 mata, Maahad Sains Tok Guru dengan GPS 2.27 dan diikuti Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah dengan catatan 2.63 mata. Sekolah terbaik mengikut GPS kategori maahad pilihan ialah Maahad Muhammadi Pasir Pekan, 3.80 mata, Maahad Saniah Pasir Puteh, 4.10 dan Maahad Rahmaniah, 4.36. Bagi kategori maahad kerajaan, didahului oleh Maahad Syamsul Maarif (P) dengan GPS 4.40, Maahad Syamsul Maarif (L) mencatatkan 5.39 mata dan Maahad Raudhah An Nazirin Jerimbong dengan catatan 5.48.
Di samping itu, kategori SMU (A) bantuan pula, SMU (A) Tarbiah Diniah Bunut Sarang Burung mendahului dengan GPS 3.63, diikuti oleh SMU (A) Tarbiah Diniah Tok Uban dengan GPS 4.73 dan SMU (A) Meheliah Geting mencatatkan GPS 5.15. Bagi kategori SABK, SMU (A) Tarbiah Islamiah Kuala Kajang, memperoleh 2.73, SMU (A) Darul Ulum Jedok dengan GPS 3.60 manakala SMU (A) Tarbiah Islamiah Lepah dengan catatan GPS 3.94.