Majlis Apresiasi Guru Terbaik Mata Pelajaran Peperiksaan SMU/ SMTQ/ SMU (DINI)/ STUP/ SPM/ STAM Tahun 2023
Kota Bharu, 16 November 2024 – Seramai 1,069 guru cemerlang mata pelajaran telah diraikan dalam Majlis Apresiasi Guru Terbaik Mata Pelajaran Peperiksaan SMU/ SMTQ/ SMU (DINI)/ STUP/ SPM/ STAM Tahun 2023, bertempat di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada guru-guru yang berjaya mencapai peratus kelulusan 100% dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ), Sijil Menengah Ugama (Dini), Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada guru-guru sekolah swasta yang melibatkan diri dalam peperiksaan awam kelolaan Lembaga Peperiksaan Yayasan Islam Kelantan, termasuk sekolah-sekolah swasta dari dalam negeri, luar negeri, dan luar negara seperti Kemboja.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Ustaz Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan. Dalam ucapannya, beliau menyatakan cadangan untuk meningkatkan lagi kualiti pengiktirafan guru cemerlang dengan memperkenalkan penambahbaikan kaedah penilaian pada masa hadapan.
Beliau mencadangkan agar kaedah pengukuran dan penilaian guru cemerlang pada tahun hadapan dilaksanakan oleh panel penilai khusus yang akan menggunakan pendekatan yang lebih sistematik. Antara penambahbaikan yang diusulkan ialah penggunaan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) sebagai salah satu kriteria utama. GPMP merupakan purata skor pencapaian pelajar dalam sesebuah mata pelajaran yang diajar oleh guru.
Kaedah ini, menurut beliau, dapat menyediakan data kuantitatif yang lebih objektif untuk menilai pencapaian pelajar, sekaligus memberikan gambaran yang lebih tepat tentang kecemerlangan guru dalam mendidik pelajar. Penilaian sebegini bersifat lebih holistik dan menyeluruh, kerana ia mengukur kecemerlangan serta kemenjadian murid berdasarkan pencapaian akademik mereka.
Pengukuran GPMP ini mengambil kira keputusan pelajar bermula dari gred A+ sehingga G bagi SPM, manakala bagi SMU dan STAM, ia berdasarkan gred Mumtaz sehingga Rasib. Kaedah ini juga seiring dengan penilaian sekolah terbaik yang menggunakan Gred Purata Sekolah (GPS), menjadikannya lebih menyeluruh berbanding penggunaan peratus kelulusan semata-mata. Beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada kesemua 1,069 guru cemerlang yang diraikan.
Diharapkan penghargaan ini mampu menjadi dorongan untuk guru-guru terus meningkatkan mutu dan kualiti pengajaran, seterusnya memberi impak positif kepada kecemerlangan pendidikan secara keseluruhan.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan-timbalan Pengarah, Penolong-penolong Pengarah, Pengetua sekolah, pegawai dan kakitangan pejabat Yayasan Islam Kelantan.
Gambar-gambar majlis dan para penerima boleh diakses di sini: https://drive.google.com/drive/folders/1b7kT1CfrFDF51_STW6pOVBH42VYfHtSA?usp=sharing