Lawatan Hari Pertama Peperiksaan SMU 2024 di Maahad Syamsul Maarif Perempuan dan Lelaki
KOTA BHARU, 6 Januari 2025 – Lawatan rasmi sempena hari pertama Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2024 berlangsung hari ini di Maahad Syamsul Maarif Perempuan dan Maahad Syamsul Maarif Lelaki. Lawatan ini disertai oleh Tuan Haji Sukeri bin Hussin, Timbalan Pengarah Kenaziran, dan Ustaz Anuar bin Rasid, Penolong Pengarah Penilaian dan Peperiksaan, bagi meninjau perjalanan peperiksaan di kedua-dua pusat berkenaan.
Lawatan dimulakan di Maahad Syamsul Maarif Perempuan, di mana mereka disambut oleh Pengetua, Ustaz Shaikhuddin bin Safie. Mereka dibawa meninjau suasana dewan peperiksaan dan melihat persiapan yang telah dilakukan untuk memastikan kelancaran peperiksaan.
Selepas selesai di Maahad Syamsul Maarif Perempuan, rombongan bergerak ke Maahad Syamsul Maarif Lelaki. Di sana, mereka meninjau dewan peperiksaan bagi memastikan perjalanan peperiksaan berjalan lancar dan memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Tuan Haji Sukeri bin Hussin menyatakan rasa puas hati dengan suasana dewan peperiksaan yang terkawal di kedua-dua sekolah serta persiapan yang telah dilakukan. Sementara itu, Ustaz Anuar bin Rasid turut memuji usaha pihak sekolah dalam menyediakan persekitaran yang kondusif bagi para pelajar menduduki peperiksaan.
Peperiksaan SMU 2024 berlangsung dari 6 hingga 15 Januari ini, melibatkan seramai 5,565 pelajar dari seluruh negeri. Peperiksaan ini diadakan serentak di semua sekolah di bawah kendalian Yayasan Islam Kelantan dan merupakan salah satu penilaian penting dalam pendidikan agama dan bahasa Arab di negeri ini.
Semoga pelajar-pelajar SMU 2024 diberi kemudahan dan kejayaan dalam menghadapi peperiksaan ini.