Accessibility Tools

Skip to main content

 +6097126315      yik@kelantan.gov.my         Ahad - Rabu 8:00 - 17:00, Khamis 8.00 - 15.30

Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan & Maklum Balas
Peta Laman
25 Februari, 2025

Pelancaran Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) Perkukuh Sistem Pendidikan Islam

25 Februari, 2025

Dewan Besar, YIK, Tunjong: 24 Februari 202 -YIK  terus mengorak langkah memperkasakan pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan dengan mengadakan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) 83 buah Sekolah. Program berkenaan telah disempurnakan oleh YB Dato' Ustaz Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YBrs. Tuan Haji Zulkifle bin Ab Rahman, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan YBrs. Tuan Borhanuddin bin Haji Ahmad, Pemangku Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAN).

DPRK merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan bagi memperkukuhkan sistem pendidikan Islam di negeri ini. Objektif utama dasar ini adalah untuk melahirkan generasi insan Rabbani yang menguasai ilmu dunia dan akhirat. Sebelum ini, 10 buah sekolah rintis telah memulakan pelaksanaan dasar ini sebagai model awal. Kini, dasar ini diperluaskan kepada 83 buah sekolah di bawah kelolaan YIK bagi memastikan manfaatnya dirasai secara menyeluruh.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Ustaz Wan Roslan menegaskan bahawa pendidikan Rabbani bukan sahaja menekankan aspek pendidikan jasmani, tetapi juga memberi perhatian kepada pendidikan rohani bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi fizikal, mental, dan spiritual.

“Kurikulum bersepadu yang diperkenalkan menerusi DPRK akan memastikan pelajar mendapat kefahaman Islam yang jelas, di samping menguasai bidang sains, teknologi, digital, dan inovasi. Selain itu, tenaga pengajar juga akan diberikan latihan khusus bagi meningkatkan kualiti dan keberkesanan dalam proses pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Sebelum ini, 10 sekolah rintis telah dipilih untuk melaksanakan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan sebagai model awal sebelum diperluaskan ke sekolah-sekolah lain. Pelaksanaan di sekolah-sekolah ini telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam merealisasikan matlamat DPRK. Kejayaan yang dicapai menjadi bukti bahawa pendekatan ini berkesan dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan spiritual.

Sekolah-sekolah tersebut ialah:
1. Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu
2. Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu
3. Maahad Muhammadi, Tumpat
4. Maahad Syamsul Maarif (P), Machang
5. Maahad Tahfiz Sains, Tanah Merah
6. Maahad Pengajian Islam, Kota Bharu
7. SMU (A) Al-Ittihadiah, Tanjung Pagar, Ketereh
8. Maahad Tarbiah Mardhiah, Panchor, Kota Bharu
9. SMU (A) Tarbiah Islamiah, Chabang Empat, Tumpat
10. SMU (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang, Tumpat

DPRK diharap dapat menjadikan Kelantan sebagai peneraju dalam sistem pendidikan Islam yang progresif serta melahirkan pelajar yang beriman, berilmu, dan berdaya saing dalam dunia moden.

KELGOV PPST

Dasar Privasi

Penerbitan YIK
Arkib