Accessibility Tools

Skip to main content

 +6097126315      yik@kelantan.gov.my         Ahad - Rabu 8:00 - 17:00, Khamis 8.00 - 15.30

Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan & Maklum Balas
Peta Laman
29 Mei, 2025

Majlis Penutup Mahrajan Riadi Sekolah-sekolah Menengah Agama Yayasan Islam Kelantan (MASSAK) 2025

29 Mei, 2025

Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Kota Bharu, 28 Mei 2025 - Mahrajan Riadi Sekolah-sekolah Menengah Agama Yayasan Islam Kelantan (MASSAK) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang menerusi Majlis Penutup yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Kota Bharu pada 28 Mei 2025. Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh YB Zamakhshari bin Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan.

Majlis turut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Haji Ahmad Pakhruddin bin Deraman, Timbalan Pengarah Sekolah, Yayasan Islam Kelantan yang mewakili YABrs. Pengarah Yayasan Islam Kelantan.

Selepas ucapan perasmian, acara diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap acara yang telah dipertandingkan sepanjang temasya ini.

Pertandingan yang berlangsung dari 25 hingga 28 Mei 2025 ini menyaksikan penyertaan meriah daripada seluruh zon daerah melibatkan sembilan acara sukan – lima acara bagi kategori lelaki iaitu bola sepak, bola tampar, badminton, ping pong dan sepak takraw serta empat acara bagi kategori perempuan iaitu bola jaring, bola tampar, badminton dan ping pong.

Dalam kategori lelaki, Bachok muncul johan acara bola sepak dengan menewaskan Gua Musang/Kuala Krai yang berada di kedudukan naib johan, manakala Pasir Puteh dan Kota Bharu 3 berkongsi tempat ketiga. Dalam acara bola tampar, Tumpat menampilkan aksi mantap untuk bergelar juara, diikuti Kota Bharu 1 di tempat kedua, sementara Tanah Merah dan Kota Bharu 3 berkongsi tempat ketiga.

Acara sepak takraw menyaksikan kejayaan Pasir Mas selaku juara, menewaskan Kota Bharu 1 di peringkat akhir, manakala Bachok dan Kota Bharu 2 meraih tempat ketiga bersama. Dalam acara badminton, Kota Bharu 1 merangkul kejuaraan, Tumpat di tempat kedua dan Pasir Mas serta Bachok berkongsi tempat ketiga. Dalam acara ping pong pula, Kota Bharu 1 menjadi johan, Tumpat sebagai naib johan dan Pasir Mas bersama Bachok di tempat ketiga.

Bagi kategori perempuan, Kota Bharu 2 menjuarai bola jaring diikuti Tanah Merah sebagai naib johan dan Gua Musang/Kuala Krai serta Bachok di tempat ketiga bersama. Dalam acara bola tampar, Tumpat dinobatkan sebagai johan, Pasir Puteh sebagai naib johan, manakala Kota Bharu 2 dan Jeli berkongsi kedudukan ketiga. Kota Bharu 2 mempamerkan aksi bertenaga dalam acara badminton dengan meraih kejuaraan, Tanah Merah di tempat kedua dan Machang serta Tumpat di tempat ketiga. Acara ping pong pula menyaksikan Tanah Merah menjuarai pertandingan, Kota Bharu 2 di tempat kedua dan Tumpat serta Kota Bharu 3 berkongsi tempat ketiga.

Juara keseluruhan bagi kategori lelaki dimenangi oleh Kota Bharu 1, manakala kategori perempuan disandang oleh Kota Bharu 2. Kejayaan seimbang dalam pelbagai acara akhirnya mengangkat Tumpat sebagai juara keseluruhan Mahrajan Riadi MASSAK 2025.

Temasya tahunan ini bukan sekadar medan persaingan sukan, tetapi turut menjadi platform membentuk jati diri pelajar berdasarkan prinsip jati diri, disiplin, kerjasama dan ukhuwah antara sekolah-sekolah menengah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan.

Gambar-gambar rasmi Majlis Penutup boleh diakses melalui pautan berikut: https://drive.google.com/drive/folders/1_3R_NRu13Zd7VggfQl0_ILKp1fjeuvko?usp=drive_link

KELGOV PPST

Dasar Privasi

Penerbitan YIK
Arkib