Accessibility Tools

Skip to main content

 +6097126315      yik@kelantan.gov.my         Ahad - Rabu 8:00 - 17:00, Khamis 8.00 - 15.30

Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan & Maklum Balas
Peta Laman
29 April, 2025

Taklimat Pendaftaran Peperiksaan SMU/SMTQ/STUP 2025

29 April, 2025

Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan, 28 April 2025 – Taklimat Pendaftaran Atas Talian bagi Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) dan Sijil Tinggi Ugama Pelajar (STUP) Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Gerakan, Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK) pagi ini.

Taklimat ini disampaikan oleh Penolong Pegawai Teknologi Maklumat YIK, Encik Abdul Mubarrak bin Jamalullail, yang membentangkan penerangan terperinci mengenai penggunaan Sistem Pendaftaran Atas Talian Peperiksaan SMU/SMTQ/STUP. Sistem ini dibangunkan sepenuhnya oleh Unit Teknologi Maklumat YIK, bertujuan memudahkan proses pendaftaran peperiksaan secara lebih sistematik, cepat dan efisien.

Sistem ini boleh diakses melalui laman rasmi: https://sys.yik.edu.my/smu. Dengan pelaksanaan sistem ini, YIK berharap dapat meningkatkan kecekapan pengurusan peperiksaan dan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah manual yang memerlukan masa dan tenaga yang tinggi.

Sistem Pendaftaran Atas Talian ini merupakan modul pertama dalam rangka pembangunan Sistem Peperiksaan Bersepadu YIK. Dalam perancangan seterusnya, YIK akan membangunkan Modul Semakan Keputusan Peperiksaan, yang membolehkan calon serta pihak sekolah membuat semakan keputusan secara atas talian dengan lebih cepat, tepat dan selamat. Selain itu, Modul Pelaporan dan Graf Prestasi juga akan dibangunkan, yang bertujuan menyediakan laporan prestasi pelajar secara terperinci, termasuk analisis perbandingan pencapaian mengikut sekolah, daerah dan keseluruhan. Pendigitalan modul-modul ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti pengurusan peperiksaan serta memperkasakan sistem pendidikan Islam di bawah kelolaan YIK.

Sesi taklimat turut membuka ruang soal jawab, di mana peserta berpeluang mendapatkan panduan langsung berkaitan penggunaan sistem. Keseluruhannya, para peserta yang terdiri daripada setiausaha peperiksaan sekolah-sekolah di bawah pentadbiran YIK memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap inisiatif pendigitalan ini.

Program berakhir dalam suasana yang penuh komitmen dan iltizam untuk memastikan pelaksanaan pendaftaran peperiksaan atas talian berjalan dengan lebih cemerlang, tersusun dan sistematik.

KELGOV PPST

Dasar Privasi

Penerbitan YIK
Arkib