Kunjungan Hormat Daripada Rombongan Iqra Arabia ke Yayasan Islam Kelantan
Kompleks Pentadbiran YIK: 24 Ogos 2025 – Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Eksekutif Syarikat Iqra' Al-Arabiyyah, Encik Abdullah Ali Bawazir. sebuah syarikat di bawah naungan Universiti Umm Al-Qura, Mekah, Saudi Arabia.
Kunjungan ini bertujuan membentangkan program-program pengajaran bahasa Arab bagi yang berasaskan kurikulum akademik Universiti Umm Al-Qura. Program tersebut ditawarkan khusus bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan guru dan pelajar penutur bahasa asing.
Menariknya, program yang diperkenalkan dijalankan dalam dua bentuk iaitu secara bersemuka di Mekah dan juga secara dalam talian. Hal ini sekali gus memberikan peluang yang lebih meluas kepada institusi pendidikan atau sekolah untuk mendapatkan manfaat daripada kepakaran yang ditawarkan oleh syarikat ini.
Diharapkan kunjungan hormat ini menjadi titik tolak kepada jalinan kerjasama yang erat antara syarikat Iqra' Al-Arabiyyah dan YIK dalam memperkukuh serta menyemarakkan penguasaan bahasa Arab secara lebih meluas di negeri ini.