Majlis Kesyukuran dan Kutipan Dana Wakaf SMU (A) Diniah, Kg Bongor (SABK)
SMU (A) Diniah Kg Bongor, Pasir Mas: 5 Oktober 2025 – Majlis Kesyukuran dan Kutipan Dana Wakaf SMU (A) Diniah, Kg Bongor (SABK) telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan. Turut hadir bersama YB Ustaz Dato’ Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, dan YBhg. Dato’ Paduka Haji Zulkifle bin Ab Rahman, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Dalam majlis tersebut, YAB Dato’ Panglima Perang dengan berbesar hati memberikan sumbangan derma sebanyak RM50,000, manakala YIK yang diwakili oleh YB Exco Pendidikan turut menyumbang sebanyak RM50,000. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penderma atas keprihatinan dan sumbangan terhadap pembangunan sekolah ini.
Tambahan pula, SMU (A) Diniah Kg Bongor turut mencatat pelbagai kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan yang amat membanggakan iaitu Anugerah Pencapaian 100% Layak Mendapat Sijil (LMS) dalam SPM 2024, Anugerah Gangsa bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Anugerah Perak bagi mata pelajaran Sejarah, Anugerah Lompatan Saujana LMS, Anugerah GPS Melepasi GPD, Anugerah Gangsa bagi mata pelajaran Perniagaan dan Sains, Anugerah Kualiti Pembelajaran Lonjakan Saujana GPS SPM 2022 peringkat negeri Kelantan (Kategori SABK), Anugerah Sekolah Terbaik kategori SABK dalam SPM 2024 serta Johan Anugerah Kelantanku Bersih Tahun 2023 dalam kategori Sekolah Bersih dan Ceria bagi Sekolah Yayasan Islam Kelantan (Sekolah Menengah Ugama Arab).
Di samping itu, sekolah ini turut menerima pengiktirafan khas daripada YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan, atas kejayaan menjadi Johan dalam Anugerah Kelantanku Bersih Tahun 2023.
Kejayaan demi kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa SMU (A) Diniah bukan sahaja cemerlang di peringkat negeri tetapi turut menyerlah di peringkat kebangsaan. Ia hasil daripada dedikasi dan komitmen yang diberikan oleh guru, pelajar, serta sokongan daripada masyarakat setempat dalam memartabatkan dan mengembangkan pendidikan Islam di negeri Kelantan.