Majlis Apresiasi Guru Terbaik Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) Peperiksaan SMU /SMTQ /STUP /SPM /STAM Tahun 2024
Kompleks Pentadbiran YIK Tunjong, 26 Januari 2026 – Majlis Apresiasi Guru Terbaik Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) Peperiksaan SMU/SMTQ/STUP/SPM/STAM Tahun 2024 telah disempurnakan oleh YB Dato’ Ustaz Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan.
Turut hadir bersama ialah YB Kamaruzaman bin Mohamad, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, YABrs. Tuan Haji Shamsul bin Abu Bakar, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), bersama barisan timbalan pengarah YIK.
Majlis ini diadakan bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada guru-guru terbaik mata pelajaran yang terlibat dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ), Sijil Menengah Ugama (Dini), Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2024.
Seramai 475 orang guru menerima anugerah melibatkan guru-guru sekolah Yayasan Islam Kelantan serta sekolah swasta dalam negeri, luar negeri dan luar negara termasuk Kemboja, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pencapaian akademik pelajar di bawah bimbingan mereka.
Bagi peperiksaan awam SMU, SMTQ dan STUP, seramai 5,574 calon daripada 100 buah sekolah telah mendaftar peperiksaan di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan. Daripada jumlah tersebut, 84 buah sekolah kerajaan negeri (YIK) melibatkan 5,730 calon, manakala 16 buah sekolah swasta dalam dan luar negeri, termasuk dua sekolah di Province Phnom Penh dan Thbong Khmum, Kemboja, melibatkan seramai 434 calon, termasuk 10 calon persendirian.
Bagi kategori SMU, peratus kelulusan direkodkan sebanyak 92.04%, menurun 4.9% berbanding 96.94% pada tahun 2023. SMTQ mengekalkan peratus kelulusan 100%, manakala STUP mencatat peratus kelulusan 86.67%, menurun 5.27% berbanding 91.84% pada tahun sebelumnya.
Bagi kategori SPM, seramai 5,090 calon sekolah YIK telah menduduki peperiksaan di 87 buah pusat peperiksaan di seluruh Kelantan. Peratus kelulusan meningkat kepada 97.50%, iaitu peningkatan 0.86% berbanding 96.65% pada tahun 2023. Seramai 194 calon berjaya memperoleh keputusan 9A hingga 12A.
Sementara itu, bagi kategori STAM, seramai 897 calon sekolah Yayasan Islam Kelantan telah menduduki peperiksaan di 24 buah pusat peperiksaan di seluruh Kelantan. Peratus kelulusan mengikut pangkat mencatat 57.08%, meningkat 2.53% berbanding 54.55% pada tahun 2023.
Semoga dengan penghargaan ini dapat menjadi motivasi dalam diri setiap guru untuk terus mempertingkatkan mutu dan kualiti pengajaran di samping memberikan pengaruh bagi menggerakkan daya usaha guru-guru yang lain.




