Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Universiti Ez-Zitouna, Tunisia
Tunisia, 2 Februari 2026 – Usaha berterusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam memartabatkan pendidikan Islam terus membuahkan hasil apabila lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari sekolah-sekolah YIK kini diberi laluan rasmi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Kelantan ke persada dunia keilmuan Islam.
Peluang bersejarah ini direalisasikan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Universiti Ez-Zitouna, Tunisia, sebuah institusi pengajian Islam terulung dunia yang melahirkan ramai ilmuwan tersohor. Kerjasama strategik ini membuka ruang kepada pelajar YIK untuk menyambung pengajian dalam suasana keilmuan global, berteraskan tradisi ilmu, adab dan ketamadunan Islam yang unggul.
Lebih membanggakan, inisiatif ini merupakan hasil sinergi kepimpinan pendidikan negeri yang melibatkan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), yang turut bersama dalam lawatan rasmi bagi memperkukuh jaringan kerjasama pendidikan antarabangsa. Gabungan usaha ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menyediakan ekosistem pendidikan Islam yang menyeluruh, berperingkat dan berdaya maju untuk anak-anak Kelantan.
Bagi ibu bapa, langkah ini menjadi sinar harapan bahawa pendidikan Islam bukan lagi terhad di dalam negara, malah mampu membawa anak-anak melangkah jauh ke pusat-pusat ilmu dunia tanpa mengorbankan nilai agama dan jati diri. Ia juga membuktikan bahawa aliran pendidikan agama di bawah YIK mampu melahirkan generasi yang diyakini, dihormati dan diterima di peringkat antarabangsa.
Usaha ini turut memperlihatkan komitmen dan kepimpinan Dato’ Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan bersama YIK dan YAKIN dalam membangunkan pendidikan secara strategik dan berterusan. Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada pelajar dan keluarga mereka, malah menjadi sumbangan signifikan Kelantan kepada pembangunan pendidikan Islam di Malaysia, sejajar dengan aspirasi Membangun Bersama Islam.




