Accessibility Tools

Skip to main content

 +6097126315      yik@kelantan.gov.my         Ahad - Rabu 8:00 - 17:00, Khamis 8.00 - 15.30

faq
Soalan Lazim
hubungi kami
Hubungi Kami
aduan & maklum balas
Aduan & Maklum Balas
peta laman
Peta Laman
05 Februari, 2026

Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025

05 Februari, 2026

Kompleks Pentadbiran YIK, 5 Februari 2026 – Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 telah disempurnakan oleh YB Kamaruzaman Mohamad, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan.

Seramai 9 orang pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya mencatatkan pencapaian cemerlang apabila memperoleh 10 Mumtaz dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025.

Seramai 906 calon daripada 25 pusat peperiksaan telah menduduki STAM tahun 2025, meningkat berbanding 897 calon daripada 24 pusat peperiksaan pada tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, 609 calon atau 67.22 peratus berjaya lulus sekurang-kurangnya pangkat Maqbul (Lulus) yang menunjukkan peningkatan sebanyak 9.25 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dari sudut pencapaian kecemerlangan, seramai 68 calon memperoleh pangkat Mumtaz, meningkat berbanding 51 calon pada tahun 2024. Seramai 189 calon memperoleh pangkat Jayyid Jiddan (Amat Baik), 276 calon memperoleh Jayyid (Baik) dan 76 calon memperoleh Maqbul (Lulus). Pencapaian gred purata (GPS) turut menunjukkan peningkatan daripada 3.19 pada tahun 2024 kepada 3.10 pada tahun 2025.

Selain itu, peratus kelulusan mengikut bilangan kertas turut meningkat kepada 86.70 peratus, berbanding 84.39 peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi akademik keseluruhan pelajar YIK.

Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), kategori Maahad Kawalan menyaksikan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat muncul sebagai sekolah terbaik dengan GPS 1.63, diikuti Maahad Muhammadi Perempuan dengan GPS 2.39 dan Maahad Muhammadi Lelaki dengan GPS 2.47.

Bagi kategori Maahad Pilihan, Maahad Muhammadi Tumpat mencatatkan GPS 2.63, diikuti Maahad Muhammadi Pasir Pekan dengan GPS 2.72 dan Maahad Rahmaniah Kuala Krai dengan GPS 2.87.

Sementara itu, bagi kategori Maahad Kerajaan, Maahad Syamsul Maarif (Lelaki) merekodkan GPS 2.69, diikuti Maahad Syamsul Maarif (Perempuan) dengan GPS 2.88 dan Maahad Al Sabirin Ayer Lanas dengan GPS 3.20.

Manakala bagi kategori SMU (A) Bantuan, SMU (A) Meheliah Geting mencatatkan GPS 3.38, diikuti SMU (A) Azhariah Melor dengan GPS 3.42 dan SMU (A) Ismailiah Binjai Manis dengan GPS 4.35.

Sembilan pelajar yang berjaya memperoleh 10 Mumtaz dalam semua mata pelajaran STAM 2025 ialah Asma’ Salsabila binti Mohd Saa’ufi, Nur Athirah Nabihah binti Mohd Noor, Wan Sofiyyah binti Wan Fakhrulrazi dari Maahad Muhammadi Pasir Pekan, Israa binti Razali dan Nurain Sofia Batrisya binti Kamal dari Maahad Muhammadi Tumpat, Mohamed Firdaus bin Mohd Fadzir dan Siti Umairah binti Ahmad dari Maahad Saniah Pasir Puteh, Samah binti Ahmad Kamal dari Maahad Muhammadi Perempuan serta Wan Muhammad Adam Danish bin Wan Afizi dari Maahad Muhammadi Lelaki.

Yayasan Islam Kelantan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar atas kejayaan yang membanggakan ini serta mengucapkan penghargaan kepada para guru, ibu bapa dan seluruh warga pendidikan atas komitmen berterusan dalam memartabatkan pendidikan Islam di negeri Kelantan.

Pihak YIK turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas sokongan berterusan dalam membangunkan sistem pendidikan agama dan bahasa Arab di negeri ini.

KELGOV PPST

Dasar Privasi

Penerbitan YIK
Arkib