Majlis Tadarus al-Quran dan Iftar Warga Yayasan Islam Kelantan Bersama YAB Dato' Panglima Perang Menteri Besar Kelantan
Dewan Besar, YIK, Tunjong: 26 Februari 2026 – Majlis Tadarus al-Quran dan Iftar Warga Yayasan Islam Kelantan Bersama YAB Dato' Panglima Perang Menteri Besar Kelantan telah berlangsung dengan jayanya.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Dato' Ustaz Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, YB Kamaruzaman Mohamad, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YABrs. Tuan Haji Shamsul bin Abu Bakar, Pengarah Yayasan Islam Kelantan, timbalan-timbalan pengarah, dan mudir-mudir serta penolong kanan sekolah-sekolah YIK.
Majlis dimulakan dengan tadarus ayat suci al-Quran, surah Al-Anfal, ayat 24 hingga 28 oleh YBrs. Ustaz Mohd Zainuri bin Che Pa, Pen. Kanan (Pentadbiran) Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi. Majlis diteruskan dengan ulasan ayat dan tazkirah yang disampaikan oleh YBrs. Ustaz Che Kamarudin Kamel bin Che Muhammad, Mantan Timbalan Pengarah (Sekolah) Yayasan Islam Kelantan.
Majlis diteruskan lagi dengan amanat yang disampaikan oleh YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan. Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan memelihara integriti dan tidak mengkhianati amanah ketika melaksanakan tanggungjawab, selaras dengan perintah Allah dan Rasul sebagaimana intisari ayat 27 Surah al-Anfal yang menjadi teks tadarus Ramadan tahun ini.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan cek cura berjumlah RM688,559.80 kepada 13 buah sekolah YIK di bawah Program Pelaksanaan Wakaf Pendidikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)–YIK.
Wakaf Pendidikan MAIK–YIK merupakan satu inisiatif untuk membantu 93 buah sekolah di bawah kelolaan YIK, meliputi aspek infrastruktur, kemudahan pembelajaran, teknologi pendidikan dan kebajikan pelajar.




