Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMU / SMTQ dan STUP Tahun 2025
Dewan Besar, YIK Tunjong, 17 Mac 2026 – Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMU/ SMTQ dan STUP Tahun 2025 telah disempurnakan oleh YB Dato' Ustaz Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan.
Seramai 5,146 calon daripada 99 buah sekolah telah menyertai peperiksaan awam kelolaan Yayasan Islam Kelantan di 97 pusat peperiksaan seluruh negara pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, 4,796 calon melibatkan 85 buah sekolah kerajaan negeri (YIK), manakala 347 calon daripada 14 buah sekolah swasta dalam dan luar negeri termasuk dua sekolah di Kemboja, serta tiga calon persendirian. Seramai 4,999 calon menduduki SMU, 98 calon SMTQ dan 49 calon STUP.
Bagi peperiksaan SMU dan SMTQ, seramai 4,780 calon atau 93.78 peratus daripada 5,097 calon layak menerima sijil, menunjukkan peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Dari segi pencapaian, seramai 1,061 calon memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang), diikuti 1,064 calon pangkat Jayyid Jiddan (Amat Baik), 1,402 calon pangkat Jayyid (Baik) dan 1,253 calon pangkat Maqbul (Lulus). Selain itu, seramai 268 calon berjaya mencapai keputusan cemerlang 10 Mumtaz dalam semua mata pelajaran, meningkat ketara berbanding hanya 90 calon pada tahun 2024.
Bagi peperiksaan STUP pula, seramai 49 calon telah menduduki peperiksaan dengan 44 calon atau 89.80 peratus lulus penuh, meningkat berbanding 86.87 peratus pada tahun sebelumnya dan 4 calon berjaya memperoleh 8 Mumtaz semua mata pelajaran.
Berdasarkan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS), Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong muncul sebagai sekolah terbaik keseluruhan dengan GPS 1.05. Mengikut kategori, sekolah terbaik ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong bagi kategori Maahad Kawalan (GPS 1.05), Maahad Muhammadi Pasir Pekan bagi kategori Maahad Pilihan (GPS 1.93), Maahad Syamsul Maarif (Perempuan) bagi kategori Maahad Kerajaan (GPS 2.60),
Selain itu, SMU (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Susu bagi kategori SMU (A) (GPS 2.30), SMU (A) Tarbiah Islamiah Kuala Kajang bagi kategori SABK (GPS 2.16), serta Darul Haafizhiin Al-Furqan, Gombak bagi kategori sekolah swasta (GPS 2.11).
Pihak Yayasan Islam Kelantan merakamkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya serta penghargaan kepada guru, ibu bapa dan semua pihak termasuk MAIK dan YAKIN atas sokongan berterusan. Kejayaan ini mencerminkan komitmen dalam melahirkan generasi berilmu, beriman dan berakhlak mulia selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam.








