Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan Kali ke-16 Tahun 2025
Dewan Besar YIK, Tunjong: 16 April 2026 – Seramai 432 pelajar yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk telah diraikan di Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) Kali ke-16 Tahun 2025. Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan yang telah menyampaikan sijil khatam hafazan kepada 252 pelajar pada sesi pagi manakala bagi sesi petang pula telah disempurnakan oleh YB Dato' Ustaz Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan yang telah menyampaikan sijil khatam hafazan kepada 180 orang pelajar. Turut hadir Bersama ialah YABrs. Tuan Haji Shamsul bin Abu Bakar, Pengarah YIK dan Ahli-ahli Mesyuarat Lembaga YIK.
YAB Dato Menteri Besar telah berbesar hati dengan mengurniakan Anugerah Tokoh Tahfiz kepada Muhammad Iqbal Danial bin Nasir dari sekolah SMU (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung dan Nur Fatin Hanani binti Hafizi dari Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah. Beliau turut mengurniakan Anugerah Khas Syahadah 30 Juzuk 18 Jam Tanpa Kesalahan kepada Ahmad Fikri bin Abdul Hisham dari Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor.
Selain itu, bagi Anugerah Hafiz dan Hafizah Terbaik Sekolah pula seramai 9 orang. Bagi Anugerah Al-Quran Tulisan Tangan Terbaik, tempat pertama disandang oleh Ahmad Nu'man Ismail bin Ahmad Abdul Wahid dari Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, Machang. Tempat kedua pula ialah Nurul Nuha binti Mohamad Nahi dari Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah Beta Hulu, Kota Bharu dan diikuti oleh Nur Amalin Insyirah binti Razali bagi tempat ketiga.
Di samping itu, seramai 61 orang pelajar dianugerahkan sijil Syahadah Hafazan, Kategori 1–10 Juzuk. Bagi kategori 1- 20 juzuk pula, seramai 10 orang pelajar dan kategori 1-30 juzuk adalah seramai empat orang manakala bagi Ijazah Sanad pula adalah seramai tujuh orang.
Diharapkan kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk terus istiqamah dalam memelihara dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara. Semoga segala usaha yang dicurahkan diberkati Allah SWT dan menjadi asbab lahirnya generasi al-Quran yang mampu memimpin masyarakat ke arah kebaikan dan kesejahteraan.








