22 April, 2026
Mahrajan Riadhi Sekolah-Sekolah Agama Yayasan Islam Kelantan (MASSAK) Peringkat Negeri Kelantan 2026
22 April, 2026
KOTA BHARU: 22 April 2026 – Mahrajan Riadhi Sekolah-Sekolah Agama Yayasan Islam Kelantan (MASSAK) Peringkat Negeri Kelantan 2026 melabuhkan tirai secara rasmi hari ini selepas berlangsung selama empat hari bermula 19 April lalu.
Kejohanan yang menghimpunkan penyertaan daripada 12 zon seluruh negeri itu berlangsung di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, dengan beberapa acara turut diadakan di lokasi lain bagi memastikan kelancaran pertandingan.
Antaranya, acara bola sepak berlangsung di Padang Bola Kampung Domis manakala bola jaring diadakan di Majlis Sukan Negara. Acara lain seperti bola tampar, sepak takraw, badminton dan ping pong dijalankan di kompleks utama di Panji.
Sepanjang penganjuran, kejohanan itu menyaksikan persaingan sihat dalam kalangan peserta, di samping menonjolkan semangat kesukanan yang tinggi serta hubungan ukhuwah yang erat antara pelajar sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan.
Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah yang berlangsung hari ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Shamsul Bin Abu Bakar, Pengarah Yayasan Islam Kelantan yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Bagi keputusan rasmi, kategori perempuan dimenangi oleh Kota Bharu 2, manakala kategori lelaki dan kejuaraan keseluruhan menjadi milik Kota Bharu 1.
Lebih daripada sekadar pertandingan, MASSAK dilihat sebagai platform penting dalam membentuk pelajar yang seimbang dari segi jasmani dan rohani, selain memupuk nilai disiplin, kerjasama dan semangat setiakawan dalam kalangan generasi muda.
Ditulis oleh: Hasif Mazlan







