Accessibility Tools

Skip to main content

 +6097126315      yik@kelantan.gov.my         Ahad - Rabu 8:00 - 17:00, Khamis 8.00 - 15.30

faq
Soalan Lazim
hubungi kami
Hubungi Kami
aduan & maklum balas
Aduan & Maklum Balas
peta laman
Peta Laman
22 April, 2026

Seminar Menangani Gejala Sosial Himpunkan Institusi Pendidikan Di Kelantan

22 April, 2026
Dewan Besar YIK, Tunjong: 22 April 2026 – Seminar Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja dan Belia Negeri Kelantan berjaya menghimpunkan peserta daripada institusi pendidikan di bawah kawalan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan, Tunjong, hari ini.
Program yang berlangsung sehari itu bertujuan meningkatkan kesedaran serta kefahaman berkaitan isu gejala sosial yang semakin mencabar dalam kalangan generasi muda masa kini.
Seawal jam 7.30 pagi, peserta mula mendaftar sebelum mengikuti beberapa sesi pembentangan yang disampaikan oleh tokoh dan pakar dalam bidang masing-masing. Pembentangan pertama bertajuk “Jenayah Dalam Kalangan Remaja: Punca dan Langkah Mengatasinya” telah disampaikan oleh YDH Supt. Wan Ruzailan bin Wan Mat Rusoff, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, yang mengupas faktor penyumbang kepada penglibatan remaja dalam jenayah serta langkah pencegahan yang boleh diambil.
Sesi kedua pula menampilkan YBrs. Encik Muhamad bin Ismail, Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Bharu menerusi pembentangan bertajuk “Dadah Musuh Utama Generasi Muda”, yang memberi penekanan terhadap bahaya penyalahgunaan dadah dan kepentingan peranan masyarakat dalam membendung gejala tersebut.
Manakala sesi ketiga disampaikan oleh YBrs. Dr. Azirawati binti Ismail, Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II, melalui ceramah “Kesedaran Gejala Sosial Hari Ini” yang menyentuh realiti semasa serta kesan gejala sosial terhadap kesihatan fizikal dan mental remaja.
Majlis turut diisi dengan ucapan aluan oleh Pengarah Yayasan Islam Kelantan, YABrs. Tuan Haji Shamsul bin Abu Bakar. Kemuncak program menyaksikan perasmian seminar oleh YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK. 
Yayasan Islam Kelantan dengan penuh takzim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada YBM Tengku Temenggong Kelantan atas perkenan mencemar duli berangkat hadir serta menyempurnakan perasmian seminar ini di Yayasan Islam Kelantan.
Pada masa yang sama, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih turut dirakamkan kepada MAIK atas kerjasama erat dalam menjayakan penganjuran seminar ini.
Penganjuran seminar ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara agensi serta institusi pendidikan dalam usaha berterusan membendung gejala sosial dalam kalangan remaja dan belia di negeri ini.

KELGOV PPST

Dasar Privasi

Penerbitan YIK
Arkib