Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 Kerajaan Negeri Kelantan
Dewan Tok Guru Dato' Bentara Setia , Kompleks Darulnaim, Kota Bharu, 28 Jun 2026 – Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 Kerajaan Negeri Kelantan telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan. Turut hadir bersama YB Dato’ Ustaz Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Encik Hamdan bin Razali, Pengarah Negeri Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan YABrs. Tuan Haji Shamsul bin Abu Bakar, Pengarah Yayasan Islam Kelantan.
Seramai 1,494 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2025 telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan 2025 yang berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 1,300 pelajar cemerlang yang diraikan pada tahun sebelumnya.
Dalam majlis yang sama, YAB Dato’ Panglima Perang turut menyampaikan cek cura (mock cheque) berjumlah RM 747,000 kepada Encik Hamdan Razali, Pengarah Negeri Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Peruntukan tersebut merupakan insentif kepada semua penerima Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 dan boleh dituntut selepas tempoh 14 hari.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025 Peringkat Kebangsaan iaitu Siti Maisarah Yahya Lotfi. Beliau menerima sumbangan sebanyak RM 1,000 daripada Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) sebagai tanda penghargaan atas kecemerlangan akademik yang telah dicapai.
Majlis penyampaian anugerah ini merupakan insentif kerajaan negeri Kelantan dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Pelbagai inisiatif diadakan oleh kerajaan Kelantan seperti Tuisyen Rakyat Sejahtera dan E-Tuisyen supaya semua anak Kelantan tidak tercicir daripada akses kepada Pendidikan yang berkualiti.
Selain itu, insentif ini bukan hanya diberikan kepada pelajar-pelajar dari sekolah Yayasan Islam Kelantan sahaja tetapi turut diberikan kepada pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN), MARA dan Swasta.
Semoga sumbangan anugerah ini menjadi pemangkin untuk terus melahirkan generasi Rabbani yang berilmu, berakhlak dan berbakti untuk agama dan negara.








