Program Jerayawara UP_TVET Bersama Komuniti Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tahun 2026
Dewan Besar YIK, Tunjong, 16 Jun 2026 - Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Majlis TVET Negeri Kelantan telah menganjurkan Program Jerayawara UP_TVET Bersama Komuniti Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Exco berkaitan dan menghimpunkan seramai 415 orang peserta yang terdiri daripada pelajar serta guru-guru kaunseling daripada 83 buah sekolah YIK.
Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai peluang pendidikan dan latihan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di samping memperkenalkan Portal UP_TVET sebagai platform berpusat yang memudahkan proses permohonan ke institusi TVET di seluruh negara.
Melalui portal tersebut, para pelajar berpeluang mendapatkan maklumat serta membuat permohonan ke lebih 1,000 institusi TVET yang menawarkan pelbagai program kemahiran di bawah pelbagai kementerian dan agensi berkaitan. Inisiatif ini diharap dapat membantu pelajar membuat perancangan pendidikan dan kerjaya yang lebih jelas selaras dengan keperluan industri semasa.
Usaha memperkenalkan agenda TVET kepada pelajar sekolah agama merupakan satu langkah penting dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja memiliki asas ilmu agama yang kukuh, malah menguasai kemahiran teknikal, teknologi dan profesional. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi melahirkan generasi "Teknokrat Mukmin" yang cemerlang dari aspek ilmu, kemahiran, sahsiah dan integriti.
Turut hadir ialah YBrs. Tuan Haji Shamsul Abu Bakar, Pengarah Yayasan Islam Kelantan dan YBrs. Teknologis Abdul Hanif Ludin, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Timur.
Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai potensi laluan TVET sebagai pilihan pendidikan yang mampu melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Kelantan untuk membina masa depan yang cemerlang melalui pendidikan dan latihan kemahiran.








