Majlis Pelancaran dan Taklimat Pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) 3.0 Negeri Kelantan Tahun 2026M/1448H
Dewan Besar YIK, Tunjong, 7 Julai 2026 - Majlis Pelancaran dan Taklimat Pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) 3.0 Negeri Kelantan Tahun 2026M/1448H telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato' Ustaz Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan. Turut hadir ialah YB Dato' Presiden Backbenchers Club (BBC) Negeri Kelantan, Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan, wakil-wakil syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), wakil Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN), guru-guru tenaga pengajar serta wakil-wakil daripada 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Kelantan.
Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM675,000 bagi pelaksanaan Program TRS 3.0 yang dijangka memberikan manfaat kepada lebih 2,700 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri. Sebanyak RM15,000 diperuntukkan kepada setiap 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa agenda pendidikan dan meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar.
Program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya ini akan melibatkan lebih 60 orang pelajar bagi setiap DUN. Para peserta akan mengikuti bimbingan akademik yang lebih tersusun meliputi empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) sebelum diteruskan dengan sesi taklimat pelaksanaan Program TRS 3.0. Taklimat tersebut bertujuan memastikan penyelarasan dan pelaksanaan program dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, teratur dan berkesan di setiap kawasan DUN.
Pelaksanaan Program TRS 3.0 merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Yayasan Islam Kelantan (YIK), Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN), Majlis Guru Cemerlang Negeri Kelantan, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan, Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd., Pusat Khidmat DUN serta semua urus setia dan penyelaras yang terlibat.
Program ini diharapkan dapat terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan di Kelantan melalui usaha bersepadu antara Kerajaan Negeri, agensi pendidikan, guru, ibu bapa dan masyarakat dalam membantu calon-calon SPM mencapai keputusan yang cemerlang serta melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.








