Pengauditan Pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam di YIK
Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong: 22 Mac – Pasukan Audit Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah melakukan pengauditan pematuhan pelaksanaan EKSA di Yayasan Islam Kelantan dalam rangka memastikan semua agensi negeri mempraktikkan amalan baik dalam penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh di negeri ini. Pasukan yang diketuai oleh Puan Ayuni bersama 16 orang juruaudit EKSA ini telah membuat pemeriksaan mengikut zon, iaitu Zon Ta’lim, Zon Tadris dan Zon Ta’dib.
Pemeriksaan yang bermula 9.00 pagi dengan pembentangan pelaksanaan EKSA kemudiannya dipecahkan kepada 3 team diiringi oleh setiausaha-setiausaha zon dan PIC bertugas. Memandangkan ruang pemeriksaan yang luas dan mempunyai beberapa blok bangunan 3 tingkat, sesi penutupan berakhir hampir jam 4.00 petang. Sepanjang pemeriksaan berkenaan, pihak auditor mengucapkan tahniah kepada seluruh kakitangan YIK yang telah melakukan inovasi dalam beberapa amalan baik untuk kemudahan, keceriaan dan keselamatan tempat kerja. Usaha-usaha mengindahkan suasasa juga telah diambil melalui beberapa pendekatan samada di ruang kerja mahupun di kawasan persekitaran luar.
Walaubagaimana pun pelaksanaan EKSA YIK perlu kepada beberapa penambahbaikan bagi memenuhi keperluan maksima EKSA. Antaranya ialah mengemaskini tunjuk arah di laluan masuk dan keluar pintu masuk pejabat, menyediakan tong sampah yang mencukupi berdasarkan blok bangunan dan penggunaan kakitangan, penyelenggaran pokok dan tumbuhan di persekitaran luar, penyediaan kew pa 7 yang tidak menepati standard. Pihak YIK juga perlu menyediakan ruang simpanan khusus bagi peralatan pembersihan dan penyelenggaraan, begitu juga dengan penyediaan unsur-unsur delighting the costumer. Manakala penyediaan visi, misi dan motto pula belum menepati berimej korporat apabila disediakan dalam bentuk banting,Piagam Pelanggan pula tidak dipamerkan di lobi utama.
Selain itu, usaha-usaha pelabelan perlu diperkemaskan, antara yang ketara adalah ketiadaan label di pondok pengawal, tiada aluan “Selamat Datang†di pintu masuk lobi utama dan tidak label Kaunter Khidmat Pelanggan. Kakitangan juga diingatkan untuk tidak melabel semua perkara khususnya peralatan yang diketahui umum dan barangan ringan. Secara umum EKSA YIK sudah berada di landasan yang betul dan telah diberi tempoh penambaikan untuk layak dipersijilkan oleh pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Dalam sesi penggulungan, Hj. Shamsul b. Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pengurusan YIK merakamkan ucapan terima kasih atas pengauditan ini, dan langkah segera akan di ambil untuk membuat penambahbaikan sebagaimana teguran melalui penemuan-penemuan audit pada kali ini. Beliau berharap semua teguran itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.